Kami berharap Galeri Khazanah akan menjadi platform untuk menghargai bakat seni Malaysia dan untuk memupuk komuniti yang berdaya untuk manfaat rakyat Malaysia.
Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dengan sukacitanya mempersembahkan galeri seni maya kami, yang diberi nama Galeri Khazanah. Kami gembira untuk berkongsi dengan semua rakyat Malaysia serta pengunjung dari seluruh dunia, karya seni yang dihasilkan oleh penggiat seni Malaysia, menganyam kisah dan naratif yang indah. Karya seni dalam simpanan kami diperoleh secara beransur-ansur sejak penubuhan kami Khazanah pada tahun 1994, dan koleksi tersebut tersemat rapi dalam lipatan memori institusi negara. selanjutnya…
Bersama syarikat korporat lain yang turut memelihara aset budaya negara untuk tatapan generasi akan datang, Galeri Khazanah bertujuan untuk memelihara dan memulihara permata seni negara yang tidak ternilai dan turut memberi peluang kepada masyarakat antarabangsa gambaran sekilas pandang tentang warisan budaya kita melalui perspektif seniman dan seniwati Malaysia.
Melalui platform digital ini, Galeri Khazanah berusaha untuk menyediakan kebolehcapaian pengetahuan di tengah-tengah anjakan demografi global dan memupuk penghargaan warisan melalui pendigitalan karya seni. Ini termasuk proses pengambilan inventori karya seni fizikal, mengimbas dan menyimpan data-data karya seni sebelum mempamerkannya dalam pameran bertema.
Kami berharap Galeri Khazanah akan menjadi platform untuk menghargai bakat seni Malaysia dan untuk memupuk komuniti yang berdaya untuk manfaat rakyat Malaysia.
Di Khazanah, kerja yang kami lakukan menyentuh kehidupan pelbagai pihak. Sekian lama, kami telah menenun bebenang ke dalam fabrik sosial Malaysia yang kaya yang seterusnya menyumbang ke arah pembangunan negara kita ini.
Sebagai sebahagian daripada strategi untuk Memajukan Malaysia, kami berhasrat untuk membina kapasiti dan memacu komuniti yang bertenaga untuk manfaat rakyat Malaysia, dan kami berbangga menjadi penyokong aktif untuk pemeliharaan, penghargaan dan pengiktirafan seni, warisan dan budaya tempatan.
Ini dicerminkan dalam usaha kami dalam meningkatkan bakat dengan menyediakan peluang untuk artis-artis Malaysia yang baru muncul melalui Khazanah Arts Residency, serta pelbagai inisiatif seni, warisan dan ruang awam melalui yayasan kami, Yayasan Hasanah.
Bersama-sama kita menyokong pemuliharaan warisan seni dan budaya kita dalam Memajukan Malaysia di mata dunia.
Galeri Khazanah bertujuan menawarkan khalayak ramai, baik dalam kalangan rakyat tempatan mahupun luar negara, sekilas pandang warisan budaya kita melalui perspektif artis tempatan dan antarabangsa. Menerusi kedudukan unik kami sebagai wakil Malaysia dalam pasaran global, kami berharap galeri seni maya ini akan memberi impak dengan mengimarahkan warisan negara serta mengongsikan kisah masyarakat majmuk kita di persada dunia
Kata Aluan oleh
Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir
Pengarah Urusan
Khazanah Nasional Berhad
Saya dengan sukacitanya mengalu-alukan kehadiran anda ke edisi ketujuh pameran Galeri Khazanah, Corak Alam: Bentuk-Bentuk Dunia Kehidupan, yang mengangkat renungan terhadap bentuk, ritma dan corak yang wujud dalam alam semula jadi serta pengaruhnya yang berterusan dalam amalan seni.
Seni menghubungkan kita dengan dunia di sekeliling iaitu melalui tempat, kenangan, komuniti dan alam sekitar. Lebih daripada sekadar medium ekspresi kreatif, seni turut mencerminkan kisah, nilai dan pengalaman bersama yang membentuk identiti sesebuah negara merentas generasi. Menghimpunkan para seniman daripada pelbagai generasi dan disiplin, pameran ini menelusuri hubungan kita dengan alam semula jadi dan dunia kehidupan, serta keindahan yang terkandung di dalamnya. Galeri digital pada kali ini akan menampilkan 40 karya seni, manakala beberapa karya fizikal terpilih turut dipamerkan di Seri Negara.
Di Khazanah, kami percaya bahawa pembinaan negara melangkaui pulangan kewangan semata-mata. Sebagai pelabur bermatlamat dengan perspektif jangka panjang, tanggungjawab kami bukan sahaja membantu membina ekonomi yang lebih kukuh, malah memperkukuh asas sosial dan budaya yang membolehkan Malaysia terus maju untuk generasi akan datang. Justeru, usaha memelihara dan meraikan warisan seni serta budaya merupakan sebahagian penting daripada pembinaan sebuah negara yang berdaya tahan, berkeyakinan dan berpandangan jauh. Komitmen ini turut dizahirkan menerusi usaha kami menghidupkan semula mercu tanda warisan negara seperti Seri Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Pejabat Pos Besar Lama.
Sejak sekian lama, Khazanah telah menghimpunkan koleksi bermakna yang merangkumi lukisan, lakaran, fotografi, arca serta artifak bersejarah yang menjadi cebisan memori negara. Khazanah ini dipelihara bukan sekadar sebagai objek, tetapi sebagai legasi yang terus hidup untuk anak-anak kita dan generasi seterusnya.
Namun, pemeliharaan semata-mata tidak memadai. Warisan mencapai nilai tertinggi apabila dapat dihayati, difahami dan dikongsi. Atas sebab itulah Galeri Khazanah diwujudkan, bukan sekadar untuk memelihara koleksi ini, tetapi untuk mendekatkan rakyat Malaysia dengan seni, budaya dan warisan melalui pengalaman yang lebih mudah diakses, menarik dan bermakna kepada semua lapisan masyarakat.
Sejak pelancaran pameran maya pertama Galeri Khazanah pada Julai 2022, platform ini terus berkembang sebagai ruang penerokaan budaya, penglibatan awam dan pembelajaran bersama. Menerusi pengalaman digital yang dilengkapi dengan pelbagai aktiviti secara langsung, Galeri Khazanah memperluaskan akses kepada seni dan warisan Malaysia dengan membawa budaya melangkaui ruang galeri tradisional dan mendekatkannya kepada audiens yang lebih luas.
Perjalanan ini dipandu oleh tiga aspirasi utama, iaitu menghubungkan komuniti dengan seni dan warisan, memperdalam apresiasi budaya menerusi dialog serta perkongsian ilmu, dan memperkukuh ekosistem seni dan warisan Malaysia melalui kerjasama serta perkongsian strategik. Melalui pengalaman digital dan fizikal yang inklusif, Galeri Khazanah bukan sekadar sebuah platform pameran maya, malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembelajaran, kerjasama dan pemeliharaan budaya, sekali gus mewujudkan hubungan yang lebih mendalam dengan kisah di sebalik setiap karya.
Kami dengan penuh sukacita menjemput anda meneroka koleksi Galeri Khazanah dan menyelami bagaimana para seniman menemukan makna daripada alam semula jadi. Semoga anda menikmati pengalaman ini sebagaimana kami menikmati setiap proses dalam merealisasikannya untuk rakyat Malaysia dan juga khalayak antarabangsa.
Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir
Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Berhad